07 Jun 2012

Merungkai Misteri Dan Persoalan Di Sebalik Salasilah Keluarga

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali...

Diam tak diam,blog ini telah mencecah usia 3 tahun. Sepanjang tempoh tersebut pelbagai kisah suka duka dirakamkan bagi tatapan semua ahli keluarga.

Walaupun sejak akhir-akhir ini, blog ini kelihatan terbiar dan agak jarang dikemaskini tetapi itu semua tidak mematahkan semangat blogmaster untuk terus berkongsi pelbagai cerita terutamanya tentang keluarga tercinta ini.

Sejak akhir-akhir ini, terdapat kecenderungan daripada beberapa ahli keluarga ini ingin mengetahui tentang cerita dan kisah di sebalik salasilah keluarga ini.

Sama ada kecenderungan ini terbit dari hati nurani sendiri mahupun sekadar melayan persoalan beberapa orang yang juga ingin tahu kaitan keluarga ini dengan mereka. Tetapi itu semua tidak penting.

Yang lebih penting, kesedaran untuk mengetahui tentang salasilah keluarga itu sekurang-kurangnya dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama makhluk ALLAH.

Kali ini, saya terpanggil untuk menjelaskan beberapa kemusykilan yang hadir di benak kita semua berkaitan salasilah keluarga ini.

Sebenarnya kita kekurangan sumber yang sahih untuk menjelaskan tentang salasilah keluarga ini. Sumber utama yang kita gunakan ialah dari buku Salasilah Keturunan Tok Haji Muda karangan Tuan Haji Muhammadun bin Abd Ghani pada tahun 1965.



Sumber itu menyebut bahawa leluhur atau moyang kita iaitu namanya Tok Haji Muda @ Wan Haji Muda @ Raden Ali. Diceritakan dari sumber ini, asal kedatangan beliau ke Tanah Melayu mempunyai 2 versi yang diceritakan oleh orang tua-tua.


Versi I, Raden Ali ini merupakan keturunan diraja Mataram yang melarikan diri ke Melaka waktu itu bersama-sama kakaknya Raden Mas Ayu kerana terdapat perselisihan berhubung harta pusaka.
Versi II, Raden Ali ini merupakan keturunan Bugis yang berkhidmat dengan keluarga diraja Mataram dan melarikan diri kerana diburu oleh keluarga diraja tersebut.
Kemudian sumber tersebut menyatakan bahawa Versi I lebih diyakini ceritanya berbanding Versi II.

Seterusnya dalam beberapa bab kemudian pula diceritakan bahawa Pak Ngah Kota atau Penghulu Andin ini dilahirkan ketika Kota Melaka pecah ditembak Portugis iaitu sekitar tahun 1511.



Kemudian, kita bandingkan pula kepada kesahihan sumber itu dengan sumber sejarah ketika itu.

Jika kita mengira semula jurai keturunan keluarga kita sekarang sudah mencecah 9 generasi bermula dari Raden Ali hinggalah anak atau cucu kita paling kecil sekali.

Jika kita ambil kiraan mudah iaitu beza antara satu generasi ialah lebih kurang 25 tahun, maka kita akan dapati bahawa usia keturunan kita hanya sekitar 225 tahun. Kiraan ini diambil secara terus dari sumber tadi tanpa mengambil kita sebarang kemungkinan terdapat beberapa generasi yang tidak dapat dikesan atau terputus secara tidak sengaja.

Jadi, sekiranya kita tolak tahun semasa, 2012 dengan 225, maka kita akan dapati Raden Ali sebenarnya hidup sekitar tahun 1787 atau lebih dari tarikh itu, mungkin tahun 1750.

Oleh yang demikian, dakwaan sumber bahawa Penghulu Andin atau Pak Ngah Kota lahir pada tahun 1511 adalah tidak tepat dan tersasar dari sumber sejarah yang kita semua ketahui. Kerana Raden Ali hidup sekitar tahun 1700- 1750 iaitu beza sekitar 200 tahun.

Penjelasan ini masih boleh dipertikaikan sekiranya kita dapat menjumpai lebih banyak sumber yang boleh dibuat perbandingan.

Fikir-fikirkan...

Bersambung di Bahagian II...
Related Posts with Thumbnails